Pelancaran Program PULIH dan Eksplorasi Koperasi Terengganu

Koperasi ertinya suatu pertubuhan orang berautonomi yang bersatu secara sukarela untuk memenuhi keperluan dan aspirasi ekonomi, sosial dan budaya mereka yang sama melalui suatu perusahaan milik bersama dan dikawal secara demokrasi yang berdaftar di bawah Akta Koperasi 1993. Koperasi akan melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi bagi memenuhi keperluan anggota-anggotanya.

Minggu lepas, Sally bersama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sebuah jabatan kerajaan di bawah kementerian Pembangunan Usahawan Malaysia (MED) untuk sebuah program Eksplorasi Koperasi Negeri Terengganu dan diakhiri dengan Majlis Pelancaran Program Pelan Pemulihan Ekonomi Koperasi: lnsentif Promosi Dan Pemasaran Sektor Ekonomi Utama Pelancongan Dan Penjagaan Diri @ PULIH. Eksplorasi ini bertujuan untuk melihat kemajuan badan-badan koperasi di Negeri Terengganu dan turut di sertai oleh Yang Berhormat Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Binti Hj Samsudin, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.



Majlis Pelancaran Program Pelan Pemulihan Ekonomi Koperasi: lnsentif Promosi Dan Pemasaran Sektor Ekonomi Utama Pelancongan Dan Penjagaan Diri @ PULIH.

Program PULIH merupakan salah satu inisiatif oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang dilaksanakan secara task force bagi membantu koperasi-koperasi yang terjejas akibat penularan wabak COVlD-19.

Insentif ini bertujuan bagi membantu koperasi yang menjalankan aktiviti pelancongan dan penjagaan diri kembali beroperasi pada tahap maksimum selepas mengalami pengurangan dalam permintaan dan ketidakupayaan koperasi untuk terus beroperasi (semasa dan selepas PKP) selepas kerajaan mengumumkan pembukaan semula ekonomi bagi sektor pelancongan.

Program PULIH dilaksanakan secara serentak di seluruh negara dengan mewujudkan dana insentif khas bagi menyokong aktiviti promosi dan pemasaran dalam sektor pelancongan dan penjagaan diri oleh koperasi khususnya.



ANTARA OBJEKTIF PROGRAM PULIH:

👉 Membantu koperasi mendepani cabaran ekonomi semasa dalam jangka masa pendek selepas pembukaan semula ekonomi bagi sektor pelancongan dan penjagaan diri.

👉 Mendorong dan membantu koperasi untuk menjana semula aktiviti serta meningkatkan pendapatan selepas mengalami pengurangan permintaan dan penutupan sektor pelancongan dengan bantuan insentif promosi dan pemasaran aktiviti pelancongan dan penjagaan diri.

👉 lnisiatif khas SKM dalam usaha membantu kelangsungan koperasi untuk terus beroperasi serta berdaya tahan dan berdaya saing dalam era kebiasaan baharu selain mengurangkan kesan ekonomi yang dihadapi oleh koperasi. Sebanyak RM 1 Juta diperuntukkan oleh SKM untuk PULIH dan bakal memanfaatkan 80 buah koperasi, sehingga September sebanyak 65 koperasi telah dibantu dengan bayaran sebanyak RM525,500 dan untuk negeri Terengganu, 9 koperasi telah diluluskan untuk bayaran insentif PULIH melibatkan peruntukkan sebanyak RM70,000.



EKSPLORASI KOPERASI TERENGGANU

Sepanjang tempoh eksplorasi, kami sempat berkunjung ke 5 koperasi daripada beberapa sektor antaranya Pembinaan serta Pertanian dan Industri Asas Tani.

1. Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad (KPFMB)


KPFB Bersepadu Sdn Bhd berada di bawah pengawasan KPFMB, dan menjadi pengeluar palet makanan ternakan yang dirumus khas untuk keperluan ternakan mengikut spesis, peringkat umur dan fasa pengeluaran ternakan.

Makanan haiwan ternakan yang disediakan untuk lembu pedaging, lembu tenusu, kambing, ayam penelur, ayam pedaging dan ayam pembiak. Penternak di negeri Terengganu dan Pahang khusunya telah diberikan 3 bungkusan 50kg DQ Palet secara percuma untuk mereka lihat kualiti daripada palet ini.



Makanan lembu dan kambing berasaskan Palm Kernel Expeller (PKE) dicampur dengan kandungan protein, karbohidrat, zat-zat mineral, serta vitamin mengikut keperluan pada fasa tertentu. Selain untuk keperluan pasaran domestik, produk palet ini juga dieksport ke pasaran luar negara.



2. Koperasi Pekerja Syarikat Wan Zamri Terengganu Berhad

Koperasi Pekerja Syarikat Wan Zamri Terengganu Berhad merupakan emaju juga penjual dan kami di bawa ke tapak binaan projek terbaru mereka di Taman Kowazam Permai yang bakal dibina 16 buah unit rumah (2 unit banglo setingkat dan 14 unit berkembar setingkat)



Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin melawat dan merasmikan Projek Perumahan Koperasi Pekerja Syarikat Wan Zamri Terengganu Berhad. Dalam majlis yang sama turut disampaikan mock cheque pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) SKM kepada koperasi bagi tujuan pembiayaan projek koperasi.



3. Koperasi Ummu Wahidah Terengganu Berhad (KUWAT)


"Bersatu Menjana Pendapatan Ibu Tunggal", merupakan slogan kepada Koperasi Ummu Wahidah Terengganu Berhad (KUWAT). Anggota KUWAT terdiri daripada kalangan ibu tunggal yang menjalankan aktiviti memproses dan mengeluarkan produk Minyak Pati Gelam.



Daun pokok gelam atau nama saintifiknya 'Melaleuca cajuputi' sebenarnya sudah digunakan secara tradisional oleh masyarakat zaman dahulu, terutama untuk rawatan luka dan menghilangkan pening.
Malah, minyak pati gelam atau cajuputi juga digunakan sebagai sebahagian daripada produk ubat herba untuk melegakan simptom batuk, selesema, minyak urut dan aromaterapi.





KUWAT juga menjalankan aktiviti memproses madu kelulut, menjual produk makanan arnab dan penternakan arnab, beras wangi, barangan kraftangan dan keropok ikan segera.



4. Koperasi Petani Ketara Besut Berhad (KOPETA)

Lawatan seterusnya ke tapak tanaman padi milik Koperasi Petani Ketara Besut Berhad (KOPETA) di Daerah Besut. Koperasi ini menggunakan dron, yang dapat mengoptimumkan rawatan tanaman secara teliti, sekali gus meningkatkan kualiti pengeluaran, meningkatkan hasil dan mengurangkan kos.



Dron seperti dalam gambar ini berharga hampir RM40,000 digunakan secara menyeluruh untuk menyembur racun dan baja cecair di sawah untuk menghapuskan penyakit pada padi.

5. Koperasi Bersatu Jaya Pulau Perhentian Besut Berhad

Koperasi terakhir yang dilawati oleh YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin ialah ke Koperasi Bersatu Jaya Pulau Perhentian Besut Berhad yang dianggotai oleh lebih 300 orang penduduk setempat.
Koperasi ini menjalankan aktiviti mengilang, memproses dan pengedar utama ais di Pulau Perhentian dan sekitar.



Tempahan lebih daripada 500 beg ais diterima setiap hari bagi memenuhi keperluan dan permintaan setempat. Koperasi Bersatu Jaya Pulau Perhentian Besut Berhad turut memiliki mesin conveyor dan cold room sendiri bagi menjalankan aktiviti tersebut dan mencapai jualan sehingga RM31,000 sebulan.



Sektor koperasi menyaksikan satu gerakan yang unggul dan mampu membantu kerajaan melakukan transformasi ke arah membela kesejahteraan rakyat. Peningkatan perolehan koperasi yang ketara ini adalah hasil pelaksanaan pelbagai aktiviti perniagaan koperasi yang memanfaatkan anggota koperasi.

Semoga gerakan koperasi dapat menjadi salah satu jentera pertumbuhan ekonomi bagi merancakkan dan memperkukuhkan semula aktiviti pelancongan. Syabas kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia kerana telah berjaya mewujudkan program bantuan pemulihan sebegini dan diharap program yang dijayakan ini dapat memberi manfaat dengan meningkatkan pendapatan gerakan koperasi seterusnya membangunkan industri pelancongan di negeri Terengganu dan negara secara amnya.

Post a Comment

3 Comments

  1. Pergh bagus betul program ni ye.. Macam2 ada

    ReplyDelete
  2. Mudah dah ada drone utk sembur racun kan..jimat masa.btw sedap pulak tgk kopok keping tu

    ReplyDelete
  3. Bagus usaha2 nih
    Harap berterusan

    ReplyDelete

Hi there! Thanks for stopping by and comment. Please be polite and hopefully, all the information is useful to you and don't forget to come again! Much love!