Sinopsis ‘Mereka Yang Tertewas’, Novel Adaptasi Karya Hasanuddin Md Isa.

Pelajar-pelajar yang mengambil peperiksaan SPM sebelum tahun 2001 semestinya kenal dengan novel Novel ‘Mereka Yang Tertewas’ karya Hasanuddin Md Isa. Filem arahan: Dato' Zulkeflie M.Osman telah mengadaptasikan novel yang sarat dengan pengajaran menjadi sebuah filem.

Filem ini membawakan pelakon-pelakon berbakat seperti Zaidi Omar, Fiza Abdul Halim, Fad Anuar, Sherie Merlis, Adam Shahz, Mubarak Majid, Hilal Azman, Ruzaidi Abdul Rahman, Zaini Hassan dan Man Yakuza dan menjalani penggambaran di sekitar Kuantan, Raub dan Temerloh, Pahang. Tempoh penggambaran mengambil masa 20 hari dengan persediaan bermula lebih daripada 3 bulan awal dan menelan belanja hampir RM700,000


Sinopsis “Mereka Yang Tertewas”

Filem ini berlatarbelakangkan penerapan Islam dalam hidup sebuah kelompok masyarakat di Kampung Bukit Setugal. Tapa dari Kampung Padi Setempat beralih arah berhijrah ke tempat lain setelah maruah diri dan keluarganya dicemuh dan dicaci apabila ingin memperisterikan Mimah. Tapa mengembara mencari penghidupan yang baru serta mendalami ilmu agama untuk melupakan masa silamnya.

Tapa kemudiannya berhijrah ke Kampung Bukit Setugal dan memperisterikan Jamilah anak murid tok gurunya dan fokus menyebarkan syiar Islam. Kesucian hati Tapa atau dikenali sebagai Lebai Pa disalahertikan oleh penduduk kampung tersebut kerana mereka beranggapan Lebai Pa telah menyebarkan ajaran sesat dan ingin berkuasa di dalam kampung tersebut.

Lebai Pa berusaha untuk mengembalikan pegangan agama penduduk Kampung Bukit Setugal yang semakin goyah dengan hiburan dunia sehinggakan kebanyakan anak-anak muda kampung tersebut terjebak dengan perkara maksiat. Usaha Lebai Pa tidak sia-sia apabila mendapat sokongan Uda Puat, Mat Yasin dan Pudin.

Tohmahan demi tohmahan dilemparkan kepada Lebai Pa sebagai usaha untuk menggagalkan hasratnya menyebarkan agama tetapi pegangan hidup Lebai Pa yang banyak mencontohi sikap Rasulullah S.A.W. dalam menyebarkan agama menyebabkan Lebai Pa lebih bersemangat dan bersabar. Akhirnya Lebai Pa mampu mengubah pemikiran penduduk kampung untuk menerima Islam dan sedar atas kesalahan yang pernah mereka lakukan ke atas Lebai Pa.


Sebagai pelajar yang mendalami ilmu Kesusasteraan Melayu, Sally jujurnya memang awalnya skeptikal bahawa filem ini akan menjadi naskah yang membosankan, tapi penerapan jalan cerita serta bait-bait dialog semua pelakon menjadikan hati lembut dan memang tak terasa 1 jam 32 minit berlalu.

Jangan lupa tonton naskah ‘Mereka Yang Tertewas’, Adaptasi Novel karya Hasanuddin Md Isa, di pawagam berdekatan.

Post a Comment

0 Comments